Pasukan dari Liga A1 Semi Pro, Malaysian University (MUFT) jadi pasukan amatur pertama mara ke suku akhir Piala FA selepas membuat kejutan untuk menyingkirkan pasukan di Liga Super, PDRM FC dengan jaringan selesa 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

MUFT hanya perlukan 4 minit sebaik wisel permainan dibunyikan untuk cipta jaringan pembukaan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti menerusi Syahir Rahman. Lebih menakjubkan, Gawang PDRM sekali lagi bocor 5 minit selepas itu untuk MUFT menyumbat masuk gol kedua kalini disudahkan Hadi Mohamad.


PDRM yang dahagakan gol, cuba untuk bangkit di babak kedua dengan memasukkan beberapa pemain seperti Nazrin Nasir, Hidhir Idris, Eizrul Asyraf, Alif Naquiddin dan Hakimi Mat Isa untuk mengubah perlawanan hanya untuk MUFT menambah jaringan akhir di minit ke 90 menerusi Zharif Nafzan sekaligus menutup perlawanan dengan kemenangan bergaya 3-0. https://x.com/ASTROARENA/status/1800905440404156736

“Kita bukan nak tunjuk yang kita pandai, tetapi kita nak tunjuk yang ada material dari universiti, ‘talent’ yang boleh kita tunjukkan”, reaksi jurulatih MUFT, Ridzuan Abu Shah selepas kejayaan menewaskan PDRM.

Kemenangan ini juga menyaksikan MUFT bakal berdepan pasukan gergasi liga super, JDT di peringkat suku akhir dan itu merupakan satu perlawanan yang bakal beri pengalaman berharga kepada pemain universiti, tambah Ridzuan.