Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Pahang, Kedah pasukan pilihan ke final

11517asmawi.jpg
Sekalipun sekadar membawa bekalan tipis untuk aksi timbal balik di laman lawan, dua pasukan handalan Liga Super, Pahang dan Kedah, tetap dianggap pilihan bagi melangkah ke perlawanan akhir Piala FA musim ini.

Pahang berdepan tugas sukar untuk pertemuan di Paroi, Sabtu ini, apabila hanya menang tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan ketika aksi di laman sendiri, 30 April lalu. Begitu juga dengan Kedah yang sekadar menewaskan Terengganu 1-0 di Alor Setar.

Berdasarkan kedudukan semasa, tuan rumah bagi perlawanan kedua tampak ada sedikit kelebihan tetapi penganalisis bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, menyuarakan pandangan sebaliknya berdasarkan statistik jaringan dalam kempen Piala FA setakat ini.

"Kekuatan pasukan mengharungi Piala FA begitu kuat untuk Pahang dan Kedah. Pahang merekodkan 11 jaringan dan bolos lima gol manakala Kedah menjaringkan 14 gol dan hanya bolos tiga gol daripada lima perlawanan.

"Ia menunjukkan kekuatan menyerang dan bertahan ada pada kedua-dua pasukan ini," katanya.

Begitupun, Asmawi tidak menolak kemungkinan Negeri Sembilan dan Terengganu mampu menghadirkan elemen kejutan untuk mencipta sejarah tersendiri selaku dua pasukan Liga Perdana berentap di pentas final.

"Berbanding pasukan lawan, Negeri Sembilan dan Terengganu, mereka perlu melakukan kejutan untuk mendapatkan gol, sebenarnya gol awal untuk mengimbangi perlawanan.

"Dalam situasi itu, kedua-dua jurulatih perlu melakukan 'perang' taktikal di mana mereka perlu ubah daripada perlawanan liga kepada perlawanan Piala FA," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video