Erik Ten Hag menganggap tidak apa yang perlu dimalukan biarpun mengakui Manchester United beruntung dapat melepaskan diri daripada dikejutkan kelab Kejuaraan EFL, Coventry City, menerusi penentuan sepakan penalti dalam pertembungan separuh akhir Piala FA, awal pagi tadi.

Wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berdepan cemas di Wembley apabila pasukan divisyen kedua itu bangkit daripada ketinggalan 0-3 dan tidak bernasib baik apabila gol kemenangan pada masa tambahan dibatalkan kerana ofsaid.

Perlawanan mendebarkan itu berakhir 3-3 selepas 120 minit untuk United akhirnya menang 4-2 menerusi sepakan penalti bagi mengulangi perlawanan akhir tahun lalu menentang pesaing Manchester City.


Ia adalah satu lagi prestasi yang sangat tidak meyakinkan oleh United sambil disaksikan pemilik Manchester United, Avram Glazer, pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe dan Dave Brailsford, serta pengarah teknikal baru, Jason Wilcox.

Dan situasi itu secara tidak langsung meningkatkan tekanan terhadap Ten Hag tersebut tatkala pengurus dari Belanda tersebut cuba menekankan aspek positif perlawanan.

Ten Hag berkata: “Saya tidak boleh mengatakan perkataan seperti itu (memalukan) di penghujung hari, ia mengenai pencapaian.

“Saya juga mengesan kesilapan yang kami lakukan. Kami tidak boleh berselindung tetapi tiada apa untuk dimalukan. Ini satu pencapaian yang besar.

“Malah, dalam tempoh sedekad lalu, United hanya layak ke final sebanyak tiga kali.




"Kami kini dua kali mara dalam dua tahun. Jadi ini satu persembahan yang bagus.


“Saya lihat kami mampu bermain di tahap yang sangat tinggi tetapi dalam perlawanan yang sama, kami juga boleh menjadi sangat goyah. Itu tidak dapat dijelaskan. Ia mempunyai kaitan dengan menguruskan permainan.

“Saya perlu menerapkannya ke atas pemain saya dengan jelas. Kami harus melakukan yang lebih baik dalam keadaan seperti ini.

"Beberapa kali kami telah membiarkan kelebihan dibazirkan tetapi hari ini kami berjaya mengatasinya."