Pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris, memaklumkan persiapan pasukannya bagi menghadapi perlawanan pusingan kedua Piala FA berdepan Kuala Lumpur City berjalan dengan lancar.
Bagi bekas jurulatih Terengganu FC dan Warga Kota itu, pasukannya tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan sebaliknya akan berusaha untuk memanfaatkan segala peluang yang ada.
"Kami tidak ada masalah kecederaan, semua pemain nampak bersemangat untuk bertemu Kuala Lumpur.
"Kami akan main seperti biasa, apabila perlu bertahan maka kami akan bertahan.
"Kalau dapat peluang menyerang memang akan menyerang.
"Kuala Lumpur adalah wakil Liga Super sementara kami adalah kelab daripada Liga M3, jadi memang ada perbezaan.
"Sama ada mereka menurunkan barisan kedua atau utama sekalipun, kami tetap perlu hadapinya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Mat Zan turut percaya andai rezeki dan nasib memihak pasukannya, tidak mustahil kejutan mampu dilakar di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
"Kami mahu menikmati permainan tapi tidak mahu dibelasah juga.
"Kami ada strategi sendiri dan saya berharap pemain dapat menjalankan tanggungjawab di atas padang," katanya.
Shaiful Shamsudin
Thu Apr 13 2023