Empat pasukan pilihan menepati ramalan mara ke suku akhir saingan Piala FA 2023 selepas menewaskan lawan masing-masing dengan bergaya sebentar tadi.

Aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan pasukan tuan rumah, yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), meraih kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC dengan kesemua jaringan itu dihasilkan dalam babak pertama.

JDT berada di depan seawal minit keempat hasil tandukan penyerang utama, Bergson da Silva, sebelum pemain kelahiran Brazil itu menggandakan kelebihan berkenaan pada minit ke-12 dengan menyudahkan sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan.

Harimau Selatan kemudian memperoleh satu lagi sepakan penalti apabila Akhyar sekali lagi dijatuhkan dan kali ini, giliran Leandro Velazquez menyempurnakan tendangan itu untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-26.

Aksi di Kuala Terengganu pula menyaksikan naib juara musim lalu, Terengganu FC, turut berpesta jaringan 4-0 ke atas Melaka FC.

Ivan Mamut memastikan kelebihan awal tuan rumah pada minit kelima sebelum Hakim Abdullah menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-71.

Jordan Mintah kemudian menambah dua gol lagi menuju ke penghujung aksi, masing-masing pada minit ke-82 dan 93.

Di Manjung, Kelantan FC menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dengan menjadikan Manjung City FC sebagai mangsa.

Mario Arques muncul penjaring tunggal dalam babak pertama menerusi golnya pada minit ke-33 sebelum Nuha Marong menjaringkan gol berganda buat The Red Warriors pada minit ke-60 dan 90.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Kuala Lumpur City FC menewaskan Imigresen FC 2-0 hasil penyudah T. Saravanan (m-45+2) dan Romel Morales (m-83).