Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Dollah anggap Romero miliki sentuhan unik

yamilromero-170517.jpg
Dollah Salleh mendapat khabar gembira beberapa hari menjelang aksi final Piala FA apabila Yamil Romero boleh diturunkan dalam pertemuan menentang Lang Merah, Sabtu ini.

Ia susulan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), hari ini, meluluskan permohonan juara dua kali Piala FA itu untuk menukar Bright Dike kepada Romero.

Dollah mengakui pemain tengah dari Argentina itu memiliki teknik permainan berkualiti tinggi.

Justeru, pengendali itu optimis dengan keupayaan Romeri menggalas tugas dalam aksi final nanti.

"Semalam, saya lihat dia beraksi lebih matang dan kawalan bolanya juga agak berbeza berbanding yang pernah kita lihat.

"Kehadirannya dalam pasukan Pahang boleh menambah sengat di jentera serangan kami," katanya.

Sementara itu, Romero yang juga produk skuad remaja Boca Juniors, menyuarakan keyakinan untuk menjelmakan aksi terbaik meskipun baru menyertai pasukan, minggu lalu.

"Saya gembira menyertai Pahang dan selesa di sini.

"Saya juga teruja untuk beraksi dalam perlawanan akhir bagi membantu Pahang muncul juara.

"Namun, saya akui perlu memanfaatkan baki latihan untuk mendapatkan keserasian bersama pasukan," ujarnya.

Dalam usaha memantapkan pasukan, Tok Gajah memilih Temerloh sebagai destinasi persiapan terakhir sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada malam esok untuk menghadapi aksi di Stadium Shah Alam nanti.

 

Advertisement

Must Watch Video