Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Wanita: Sweden raih tempat ketiga

sofiajakobsson.jpg
ENGLAND 1 SWEDEN 2

Sweden meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia Wanita buat kali ketiga dalam sejarah selepas mengeksploitasi kerapuhan pertahanan England untuk mencatat kemenangan 2-1 di Nice, awal pagi tadi.


Kosovare Asllani dan Sofia Jakobsson menjaringkan gol dalam 22 minit pertama perlawanan, di mana The Lionesses gagal bangkit daripada permulaan perlahan sebelum Fran Kirby merapatkan jurang pada minit ke-31.

Ellen White terlepas peluang untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut dalam satu kejohanan apabila video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia menggunakan lengannya untuk mengawal bola sebelum menggegar gawang Sweden.

Karen Carney, yang mengumumkan persaraannya sebelum perlawanan, masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua, namun ia bukanlah penamat terindah seperti yang dihajatinya.

England ketinggalan selepas tindakan Alex Greenwood, yang gagal mengeluarkan bola dengan baik, dihukum apabila ia menemui Asllani, yang melakukan rembatan leret melepasi penjaga gol The Lionesses, Carly Telford.

Telford melakukan aksi menyelamat terbaik untuk menafikan percubaan Jakobsson, namun tidak cukup tenaga untuk menyelamatkan sepakan lencong pemain sayap Montpellier itu selepas pertahanan England membiarkannya melakukan gelecekan ke dalam kawasan penalti tanpa dicabar.

Kirby menghidupkan semula peluang The Lionesses dengan melakukan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Sweden, Hedvig Lindahl, sebelum jaringan penyamaan White dibatalkan pengadil kerana menggunakan tangan.

Julia Zigiotti Olme melepaskan sepakan leret dari jarak 20 ela untuk menguji Telford pada pertengahan babak kedua yang berlangsung hambar selepas Sweden lebih gemar bertahan.

Philip Neville memasukkan Carney pada 17 minit terakhir perlawanan -- penampilan ke-144 dan yang terakhir buat pemain itu -- manakala Nilla Fischer mengeluarkan bola di atas garisan gol bagi mengelakkan  percubaan Lucy Bronze membawa perlawanan ke masa tambahan.

Advertisement

Must Watch Video