Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Wanita: AS, Perancis buat perhitungan dalam suku akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rapinoe-as-piala-dunia-wanita.jpg
AMERIKA SYARIKAT 2 SEPANYOL 1

Juara bertahan Piala Dunia Wanita 2019, Amerika Syarikat (AS), akan menghadapi tuan rumah, Perancis, di peringkat suku akhir selepas penalti berganda Megan Rapinoe menyingkirkan Sepanyol 2-1, awal pagi tadi. 


Mara ke pusingan 16 di Reims dengan reputasi tanpa dibolosi, AS berdepan tugas lebih berat apabila menerima tentangan sengit Sepanyol. 

Kekasaran Maria Leon ke atas Tobin Heath membolehkan Rapinoe membuka tirai jaringan dari jarak 12 ela selepas tujuh minit permainan, namun Jennifer Hermoso kembali mengimbangi kedudukan dua minit kemudian. 

AS bergelut untuk memperagakan rentak sebenar, khususnya Alex Morgan yang dirantai kemas tetapi nasib menyelebihi mereka susulan kekasaran pemain tengah, Virginia Torrecilla, ke atas Rose Lavelle.

Video bantuan pengadil (VAR) kemudian mengesahkan keputusan pengadil untuk menghadiahkan penalti tetapi masa yang panjang untuk memuktamadkan penalti itu tidak mengganggu kapten AS, Rapinoe, melepaskan tendangan leret ke sudut kiri untuk kembali meletakkan AS di depan.

Perancis menanti mereka di Parc des Princes menjelang pertembungan suku akhir dua pasukan pilihan itu, Sabtu ini.

Sweden, yang mengalahkan Kanada 1-0, turut mara hasil penyudah klinikal Stina Blackstenius dan sepakan penalti yang diselamatkan Hedvig Lindahl.

Blackstenius menjaringkan gol kemenangan di Paris itu pada minit ke-55 yang juga merupakan percubaan tepat pertama Sweden. 

Kanada dikurniakan penalti  -- penalti ke-22 kejohanan untuk menyamai jumlah yang diberikan dalam edisi 2015 -- setelah bola didapati terkena tangan Kosovare Asllani, malangnya sepakan Janine Beckie gagal mengatasi Lindahl.

Tuah terus mengiringi Sweden apabila penalti yang berpihak kepada lawan dibatalkan VAR untuk mengecewakan Kanada.

Jerman, yang mengalahkan Nigeria 3-0 Sabtu lalu, akan menghadapi Sweden di Rennes, Ahad ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video