Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Piala Dunia Wanita: Dua gol Rapinoe singkir tuan rumah

meganrapinoe-cropped_uv25u2vomp0j1d32dt4sddv24.jpg
PERANCIS 1 AMERIKA SYARIKAT 2

Megan Rapinoe menjaringkan gol kemenangan buat kali kedua buat Amerika Syarikat (AS) selepas dua jaringannya membolehkan dia dan rakan sepasukan menewaskan tuan rumah, Perancis, 2-1 di Paris untuk menempah tiket separuh akhir Piala Dunia Wanita 2019 menentang England.


Penggempur Reign FC, Rapinoe, yang menjaringkan dua gol ketika pasukannya mengatasi Sepanyol, Isnin lalu, membuktikan dia tidak terkesan dengan insiden bertegang urat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, apabila membuka tirai jaringan tatkala Perancis menurunkan enam pemain daripada pemenang Liga Juara-Juara Eropah, Lyon.

AS sering menjaringkan gol awal dalam saingan kali ini dan Perancis sedar ancaman yang diberikan oleh Alex Morgan dan Rapinoe.

Namun, Perancis ketinggalan seawal minit kelima apabila Morgan meraih sepakan percuma untuk disempurnakan Rapinoe.

Penyokong menunjukkan sokongan hebat di Parc Des Princes tetapi kawalan cemerlang daripada Abby Dahlkemper dan Becky Sauerbrunn menyaksikan AS sering mematahkan serangan tuan rumah.

Perancis menang 17 daripada 18 perlawanan sebelum ini bagi semua kejohanan tetapi segalanya musnah buat anak buah Corinne Diacre itu selepas Rapinoe menyumbat gol kedua pada minit ke-65 dan walaupun Wendie Renard menjaringkan gol sagu hati, AS tetap tidak dapat dihalang.

Jaringan pembukaan daripada Rapinoe hadir menerusi sepakan percuma rendah dari sebelah kiri yang menembusi kekalutan di depan gawang sebelum melepasi kawalan tangan kiri Sarah Bouhaddi.

Terkejut dengan gol awal, Perancis cuba memperkemas permainan serta menghalang serangan AS tetapi gagal mencipta sebarang percubaan tepat tatkala mereka bergelut dengan saiz fizikal yang dimiliki Samantha Mewis dan Julie Ertz di bahagian tengah.

Bouhaddi dipaksa bekerja keras di awal babak kedua untuk menafikan percubaan Mewis dan Tobin Heath sebelum Eugenie Le Sommer mensia-siakan peluang dari jarak dekat buat tuan rumah menerusi sepakan liar.

Penjaga gol AS, Alyssa Naeher, akhirnya diuji apabila tandukan Valerie Gauvin hampir memerangkapnya tetapi dia melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Perancis tetap memberi saingan sehingga kelekaan Renard membolehkan Morgan melakukan hantaran buat Heath dan lariannya memberikan ruang buat Rapinoe mudah menolak bola masuk.

Heath turut meletakkan nama dalam senarai penjaring 10 minit kemudian tetapi bendera ofsaid dinaikkan.

Renard melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan percuma Gaetane Thiney dari jarak 10 ela, namun keampuhan benteng lawan menafikan kebangkitan tuan rumah.

Advertisement

Must Watch Video