Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Qatar: Son Heung-min tidak gentar ambil risiko

son-heung-min.jpg
Son Heung-min sanggup mempertaruhkan kesihatannya demi membawa kegembiraan buat peminat Korea Selatan dalam Piala Dunia apabila kembali menjalani persiapan dengan memakai pelindung muka. 

Kelibat Heung-min di Qatar diragui apabila dia mengalami keretakan di sekitar mata kirinya dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) Tottenham di Marseille awal bulan ini hingga terlepas tiga perlawanan terakhir di peringkat kelab menjelang Piala Dunia.

Bagaimanapun, dia disenaraikan dalam skuad 26 pemain kendalian Paulo Bento dan kemudiannya mengisytiharkan bahawa dia tidak akan terlepas kejohanan itu demi dunia. 

Heung-min menyertai sesi latihan bersama Korea Selatan di Doha sambil memakai pelindung muka dan penyerang itu bersedia untuk mengambil risiko bagi mendapatkan tempat dalam barisan utama. 

"Saya bukannya doktor, sukar untuk saya menyatakan bilakah saya boleh bermain. Apa pun saya tetap akan menghasilkan yang terbaik dalam keadaan sebegini," katanya.

“Dari sudut pandangan peminat, saya mungkin terlalu memaksa tetapi sebagai pemain bola sepak, kami sentiasa bersaing di bawah risiko sedemikian.

 

"Saya hanya mahu membawa kegembiraan dan harapan kepada peminat kami. Saya lebih bersedia untuk menanggung risiko ini.

"Setiap pemain yang hadir ke Piala Dunia mahu beraksi dengan baik tetapi ia memerlukan lebih daripada itu. 

"Bercakap secara realistik, adalah lebih penting untuk bersedia menghadapi perlawanan berbanding sekadar berkeinginan untuk bermain dengan baik.

"Saya tidak dapat meramalkan masa depan tetapi saya mahu menjadikan ini sebagai Piala Dunia yang istimewa. Saya sedia mencurahkan segala kudrat."

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found