Jurulatih Maghribi, Walid Regragui, tidak merancang sebarang taktikal khas untuk menyekat penyerang bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Skuad Atlas Lions merupakan kejutan terbesar dalam Piala Dunia di Qatar selepas menjadikan Belgium, Sepanyol dan Portugal sebagai mangsa dalam laluan muncul sebagai wakil dari Afrika pertama yang mara ke separuh akhir.
Kebetulan pula, Perancis -- yang kali terakhir menderita tewas adalah kepada satu lagi pasukan Afrika, Tunisia, di peringkat kumpulan di Qatar -- menyasarkan untuk mara ke final bagi mempertahankan Piala Dunia selepas kejayaan pada 2018.
Mbappe merupakan nadi pasukan Eropah sesudah meledak lima gol selain mencipta dua bantuan jaringan.
Achraf Hakimi dilihat calon paling sesuai untuk merantai Mbappe memandangkan pengalaman dimilikinya sebagai rakan sepasukan di Paris Saint-Germain (PSG) tetapi bagi Regragui -- yang pasukannya hanya bolos sekali sepanjang kempen -- menegaskan Maghribi tidak boleh memberi tumpuan kepada satu ancaman semanta-mata.
“(Achraf) mengenali Mbappe lebih baik daripada saya, dia berlatih bersamanya setiap hari, saya pasti dia lebih mengenali Kylian daripada saya,” katanya dalam sidang media awal pagi tadi.
"Saya tidak mempunyai perancangan khusus untuk menyekat Mbappe, malangnya bagi kami Perancis juga mempunyai pemain hebat yang lain.
"(Antoine) Griezmann dalam prestasi terbaik, (Ousmane) Dembele pula di bahagian sayap merupakan pelengkap yang hebat buat Mbappe.
"Untuk memberi tumpuan kepada Mbappe sahaja adalah satu kesilapan. Hakimi merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia di posisinya jadi ia akan menjadi satu perlawanan di antara dua jaguh, kedua-dua pasukan sedia bertarung bermati-matian.
"Kami tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada Kylian sahaja, sebaliknya memikirkan cara untuk mencetuskan masalah buat Perancis. Saya pasti Hakimi akan berada di puncak permainannya."
Shaiful Shamsudin
Wed Dec 14 2022