Walid Regragui berharap prestasi Maghribi dalam Piala Dunia di Qatar dapat membuktikan kemampuan jurulatih Arab yang harus diberi peluang di Eropah, tetapi ia kelihatan "mustahil" ketika ini.

Regragui dilantik sebagai ketua jurulatih Maghribi di penghujung Ogos lalu itu dan sejak itu Atlas Lions belum tewas apabila hanya melepaskan gol sendiri ketika menentang Kanada dalam merintis laluan ke suku akhir Piala Dunia.

Tempoh singkat Regragui menyaksikannya memacu anak buahnya untuk menghampakan Belgium selain kejayaan dalam penentuan sepakan penalti ke atas Sepanyol dalam pusingan 16.

Maghribi menjadi wakil dari Arab pertama dan pasukan Afrika keempat yang mara ke suku akhir Piala Dunia, secara tidak langsung membangkitkan tawaran terhadap khidmat Regragui.

Begitupun, jurulatih itu menjelaskan pergelutan yang dihadapinya, apatah lagi kesempatan untuk mengisi jawatan di Manchester City mahupun Barcelona.

"Soalan ini mungkin paling baik ditanya kepada kelab Eropah: mengapa mereka tidak mengupah jurulatih Arab? Mungkin ia persoalan mengenai budaya, mungkin ia aspek mentaliti," katanya.




"Hari ini saya rasa adalah mustahil Manchester City atau Barcelona melantik jurulatih Arab. Mereka langsung tidak mempertimbangkannya, seolah-olah kami tidak layak, seolah-olah kami tidak mampu.

"Tetapi ada detik-detik dalam sejarah yang boleh mengubah fikiran orang ramai. Terpulang kepada kita, orang Arab dan Afrika untuk menunjukkan bahawa kita sudah bersedia."

Setelah menghabiskan sebahagian besar karier kejurulatihannya dengan kelab-kelab di Maghribi, Regragui menambah: "Selama 10 tahun saya menjadi jurulatih, tiada siapa yang memandang saya. 'Tidak, mustahil, dia tidak mempunyai pengalaman. Ayuh lihat calon lain'.

“Kini kami melangkah ke suku akhir. Sila jelaskan keajaiban ini.

"Pengalaman tidak penting. Ia mengenai kemahiran. Tanpa mengira latar belakang anda, dari mana anda berasal; kemahiran adalah penting. Jika anda tidak berkelayakan, anda tidak mempunyai kemahiran maka anda perlu berundur."

Mungkin gaya permainan Maghribi menjadi penghalang kepada kemajuan Regragui, dengan hanya Costa Rica (30.2 peratus) mempunyai penguasaan purata yang lebih kecil dalam kejohanan ini berbanding 32.3 peratus oleh mereka.

Tetapi Regragui belum bersedia mengubah pendekatan Maghribi memandangkan mereka mampu menyekat Sepanyol yang menguasai 76.8 peratus permainan dalam pusingan terdahulu di sebalik hanya mengatur satu percubaan tepat dalam tempoh 120 minit.