WALES 0 IRAN 2
Satu lagi kejutan berlaku dalam saingan peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar 2022 apabila Iran meraih kemenangan dramatik 2-0 ke atas 10 pemain Wales di Stadium Ahmed bin Ali sebentar tadi.
Selepas dibelasah England 2-6 dalam perlawanan pertama Kumpulan B pada Isnin lalu, laluan Iran dalam saingan di Qatar kelihatan akan berakhir awal selepas tiada sebarang jaringan dihasilkan kedua-dua pasukan menuju ke penghujung perlawanan.
Bahkan, Wales kelihatan lebih berkelebihan dalam menguasai perlawanan dan menghasilkan percubaan sehingga minit ke-80 tetapi segala-galanya mula berubah apabila penjaga gol mereka, Wayne Hennessey, menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah dalam edisi kali ini.
Susulan satu serangan balas pantas yang direncakan Iran, Hennessey bertindak melakukan rempuhan yang amat keras ke atas Mehdi Taremi di luar kotak penalti dan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), pengadil dari Guatemala, Mario Escobar, bertindak mengubah keputusannya daripada melayangkan kad kuning kepada kad merah pada minit ke-86.
Iran kemudian memanfaatkan kelebihan pemain sepanjang 12 minit masa kecederaan dan berhasil memecahkan kebuntuan apabila Rouzbeh Ceshmi melepaskan rembatan jarak jauh untuk menewaskan penjaga gol gantian Wales, Danny Ward, pada minit ke-98.
Tidak cukup dengan itu, Iran kemudian memperoleh satu lagi jaringan hasil gerakan licik Ramin Rezaeian pada minit ke-101.
Dengan kemenangan itu Iran kini menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan tiga mata menjelang aksi pendahulu kumpulan, England, menentang Amerika Syarikat (AS) awal pagi esok.
Mereka seterusnya akan menamatkan pusingan awal dengan menentang AS awal pagi Rabu ini manakala Wales pula akan bertemu England pada hari dan waktu yang sama.
Muzaffar Musa
Fri Nov 25 2022