Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: UiTM gagal manfaat peluang

asiana-utim.jpg
UiTM FC gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk perlawanan keempat Kumpulan B, Piala Cabaran selepas diikat Pulau Pinang dengan keputusan seri tanpa jaringan di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

UiTM FC turun melayan kunjungan Pulau Pinang dengan misi melunas dendam kekalahan 0-2 dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Batu Kawan minggu lalu untuk kembali menghadirkan persaingan dalam Kumpulan B.

Begitupun, skuad bimbingan Reduan Abdullah itu sukar untuk menembusi benteng pasukan pelawat walaupun dihidangkan beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-35, namun percubaan Saddlam Hashim berjaya diselamatkan penjaga gol Pulau Pinang, Al-Hafiz Hamzah, untuk aksi babak pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, UiTM FC  sekali lagi mendapat peluang untuk memecah kebuntuan tetapi kali ini hantaran Muhammad Nuzul Iman Nurallail gagal dimanfaatkan penyerang import, Timothy Okereke, pada minit ke-47.

Selepas itu, tuan rumah serta pasukan pelawat dihidangkan dengan beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan, namun dinafikan oleh ketumpulan penyudah.

Kedudukan terikat tanpa jaringan kekal sehingga wisel penamat untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

"Pujian harus diberikan kepada UiTM. Mereka mempamerkan persembahan yang agresif dalam perlawanan ini dan kami akan cuba melakukannya sekali lagi berdepan lawan seterusnya," kata Reduan.

"Pulau Pinang telah mempamerkan kesungguhan beraksi dalam perlawanan ini. Satu mata yang diraih ini amat penting dan kami akan cuba menghasilkan keputusan yang lebih baik selepas ini bagi melayakkan diri pusingan kedua," kata pengendali Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan.
 

Advertisement

Must Watch Video