Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: TFC II mula langkah kanan

bruno.jpg
TERENGGANU FC II 2 KUALA LUMPUR 1

Dua gol Bruno Suzuki -- dan satu sepakan penalti yang disia-siakan -- menghiasi permulaan baik juara bertahan Piala Cabaran, Terengganu FC (TFC) II, yang mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di laman sendiri, sebentar tadi.


Aksi babak pertama tampak dikuasai TFC II dengan peluang daripada Bruno pada minit ke-21 dan 22 sebelum usaha Ridzuan Razali (m-28) menggegar palang gol pelawat.

Kuala Lumpur yang masih dibayangi tersingkir daripada Liga Super pula melakukan percubaan berbahaya menerusi Mohd Alif Samsudin yang ditepis penjaga gol TFC II pada minit ke-30.

Belum sempat pengadil keempat, Tuan Ahmad Razlan Tuan Ahmad Zahir, mengangkat isyarat masa tambahan, Bruno memecahkan kebuntuan hasil rembatan dalam kotak penalti.

TFC II kemudian diberikan penalti selepas bola terkena tangan Alif (m-56) namun penjaga gol lawan, Faridzuean Kamaruddin, mudah menangkap kemas sepakan diambil Bruno.

Pemain kelahiran Brazil itu menutup kegagalan tersebut dengan gol kedua peribadi dan pasukan selepas menyudahkan hantaran Ashari Samsudin pada minit ke-62.

Ashari berpeluang menjadi pencetak gol ketiga TFC II apabila gelecekannya melepasi Faridzuean hanya untuk dinafikan bek tengah negara, Muhd Irfan Zakaria, yang menghalang tolakan pemain berpengalaman itu.

Jaringan sagu hati Paulo Josue (m-90) pula sudah terlewat untuk skuad Warga Kota itu yang gagal mempamerkan taring sebenar dalam aksi trafik sehala ini.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
 

Advertisement

Must Watch Video