Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: Tengku Hazman kekalkan barisan terbaik

tengku-hazman-tfc-ii.jpg
Pengendali Terengganu FC (TFC) II, Tengku Hazman Raja Hassan, enggan memberi laluan mudah buat Negeri Sembilan menjelang aksi Piala Cabaran di Kuala Terengganu, malam esok.

Walaupun sudah mara ke separuh akhir, TFC II tetap menurunkan barisan terbaik kecuali Bruno Junichi Suzuki yang dalam status meragukan akibat kecederaan pinggang.

Berita yang sedikit melegakan Tengku Hazman ialah kembalinya seorang lagi awang import, Jean Andrew Baptiste, yang tidak beraksi ketika bertemu Sarawak, Selasa lalu, kerana bersama skuad kebangsaan Haiti.

"Majoriti pemain yang beraksi cemerlang dalam lima perlawanan lalu akan dikekalkan.

"Adalah penting untuk kami mengekalkan rentak kemenangan dan melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan," kata bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

Sejak mengambil alih TFC II, ada peningkatan daripada segi keputusan yang ditampilkan, namun Tengku Hazman masih menganggap ada ruang penambahbaikan, khususnya ketumpulan jentera serangan.

Mengakui berdepan masalah sama dalam setiap perlawanan, faktor tekanan juga telah dikenal pasti antara kelemahan ketara TFC II.

Antara yang terkesan ialah pemain-pemain tempatan dengan mengambil kira rekod buruk mereka di halaman sendiri sehingga dibelenggu tekanan.

"Saya sudah mengingatkan mereka supaya keluar dari mentaliti negatif dan menunjukkan prestasi sebenar," tambah Tengku Hazman.
 

Advertisement

Must Watch Video