Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: Sarawak balas dendam di Kota Bharu

fb_img_1566915793514.jpg
KELANTAN 0 SARAWAK 2

Seminggu selepas dimalukan di Kuching, Sarawak berjaya membalas dendam dengan menumpaskan tuan rumah, Kelantan 2-0 dalam saingan Kumpulan A, Piala Cabaran di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.


Kelantan turun dengan hajat memburu kemenangan berganda, namun Sarawak lebih bernafsu mencari mata penuh untuk membuka kembali peluang ke separuh akhir.

Mohd Fauzi Roslan atau Kojie terlepas peluang awal untuk meletakkan tuan rumah di depan apabila sepakan lencongnya ditepis penjaga gol Sarawak, Shaiful Wazizi Mohammad, pada minit ke-12.

Penyerang muda, Nik Azli Nik Alias, berjaya melakukan gerakan solo menewaskan dua pertahanan Sarawak sambil melepaskan sepakan kencang, namun terus ke dakapan Shaiful Wazizi pada ke-25.

Sarawak mendapat gol pertama hasil tandukan kencang penyerang import, Hudson Dias, pada minit ke-28 menewaskan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Mohammad Fikri Che Soh.

Bersambung babak kedua, hasil umpanan Nik Akif Syahiran Nik Mat mencari Nik Azli yang merembat kencang, namun berjaya ditangkap kemas Shaiful Wazizi pada minit ke-50.

Selang dua minit kemudian, Sarawak menggandakan kedudukan apabila sepakan deras pemain tengah, Zahrul Nizwan Joekifli, berjaya menewaskan Mohammad Fikri.

Skuad pelawat hampir mendapatkan jaringan ketiga, namun sepakan penyerang, Abdul Rahim Abdul Razak, tersasar biarpun Mohammad Fikri sudah tertewas pada minit ke-68.

Dalam masa kecederaan, penyerang gantian, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, hampir berjaya mendapatkan gol sagu hati tuan rumah tetapi rembatannya tersasar.

Kredit Foto: Kelantan FA Red Warriors

Advertisement

Must Watch Video