Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: Reaksi pemain pastikan UKM FC bawa pulang mata

sulaiman.jpg
Pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, lega dengan kebangkitan skuad bimbingannya yang mencuri satu mata susulan keputusan seri 3-3 dengan Terengganu FC (TFC) II dalam aksi Piala Cabaran, malam tadi.

Ketinggalan 0-2 sehingga tamat separuh masa, Sulaiman mengakui persembahan mereka diganggu masalah luar padang sehingga memaksanya mencari jalan lain untuk mengelak daripada mengalami kekalahan lebih besar.

Enggan mengulas lanjut kemelut dalaman pasukan, bekas pemain Kuala Lumpur era 90-an itu menyifatkan satu mata diraih sudah memadai bagi memastikan UKM FC tidak pulang dengan tangan kosong.

"Moral kami tidak berada di tahap 100 peratus dan lawan mengambil kesempatan mendahului dua gol dalam babak pertama.

"Saya terpaksa meninggikan suara dengan memberitahu ini bukan identiti permainan UKM FC. 45 minit kedua barulah pemain-pemain menyahut cabaran itu," katanya.

Sudah menjangka akan bergelut dengan prestasi dalam babak pertama, Sulaiman memasukkan penyerang, Faiz Hanif Adnan, bagi membantu jentera serangan dan langkah itu jelas mencetuskan kebangkitan pasukan Liga Perdana itu.

Bagaimanapun, jaringan yang dihasilkan Michael Ijezie (m-46), Mohd Irwan Syamin Wahab (m-56) serta Se-in Nam (m-89) tetap gagal memberikan kemenangan apabila Akanni Sunday Wasiu menyamakan kedudukan 3-3 pada waktu kecederaan buat TFC II.

Reaksi ditunjukkan pemain-pemainnya yang hampir sahaja meraih kemenangan ketiga berturut-turut membuktikan UKM FC mampu memberi saingan, namun hanya kelekaan di saat-saat akhir memisahkan mereka dengan tiga mata.

"Aksi dalam babak kedua cukup baik dan saya berpuas hati berbanding separuh masa pertama kerana pemain-pemain tidak bermain seperti diarahkan.

"Saya tahu mereka mengalami masalah dan keputusan seri ini memberi makna sebesar kemenangan kepada kami," tambah Sulaiman.

Tamat tiga perlawanan, UKM FC mengekalkan kedudukan pertama Kumpulan A dengan mengumpulkan tujuh mata, diekori TFC II dengan lima mata manakala Negeri Sembilan di tangga ketiga dengan tiga mata dan Sarawak tercorot, satu mata.

Advertisement

Must Watch Video