Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: Laluan sukar pertahan kejuaraan, kata Tengku Hazman

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tfc2.jpg
Ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan, menyifatkan tiada jalan mudah buat skuad bimbingannya itu untuk mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran musim ini.

Bekas tonggak negara itu berkata Kuala Lumpur akan menjadi lawan paling sukar walaupun skuad Warga Kota itu menamatkan Liga Super di kedudukan tercorot.

Menurutnya lagi, Kuala Lumpur masih pasukan mantap dengan dibarisi pemain import yang baik, terutama di jentera serangan yang diketuai Guilherme de Paula.

"Mereka (Kuala Lumpur) dapat menggunakan lima tonggak import secara bergilir-gilir manakala pemain tempatan mereka juga bagus.

"Selangor United pun tidak boleh dipandang mudah kerana rekod yang seimbang di mana masing-masing menang di tempat sendiri," katanya.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor United, melengkapkan aksi Kumpulan B bersama TFC II ialah naib juara edisi lalu, UKM FC.

Tengku Hazman berkata dia sedang memperkemaskan barisan pertahanan TFC II berikutan ketiadaan pemain tinggi lampai, Serhii Andrieiev.

Penyerang import, Akanni Sunday Wasiu, pula sudah pulih daripada kecederaan ringan selepas direhatkan dalam aksi terakhir Liga Perdana, minggu lalu.

"Kami hanya dapat guna tiga pemain import kerana Andrieiev akan bersama TFC untuk Piala Malaysia.

"Seperti musim lalu, undian agak sukar, namun saya percaya dengan kemampuan pemain yang ada," tambahnya lagi.

Advertisement

Must Watch Video