Skip to main content

Bola Sepak

Piala Cabaran: JDT II peroleh kelebihan jaringan

jdtiiukm.jpg
JDT II 1 UKM 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) II membawa bekalan kelebihan satu jaringan selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas UKM dalam aksi final pertama Piala Cabaran di Pasir Gudang, sebentar tadi.


JDT II menyingkirkan penyandang juara, Terengganu FC II, menerusi agregat 4-2 sementara UKM mengatasi Sarawak 7-1 secara agregat untuk melangkah ke final.

Aksi final Piala Cabaran yang menggunakan format timbal balik itu menyaksikan JDT II menerima kunjungan UKM di Stadium Majlis Perbadanan Pasir Gudang bagi meletakkan sasaran untuk menjulang gelaran pertama sejak pasukan itu ditubuhkan pada 2014.

UKM, yang dikendalikan penolong jurulatih, Juzaili Samion, ketika ketiadaan Sulaiman Hussin yang berada di Jepun untuk mengikuti kursus kejurulatihan, kembali ke pentas final bagi menebus kekecewaan musim lalu apabila tewas kepada Terengganu FC II.

Tiada jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dalam separuh masa pertama.Corak permainan anak buah Ervin Boban itu sering bertumpu kepada Nicolas Fernandez apabila beberapa lorongannya berjaya menembusi benteng pertahanan UKM yang sekadar menguji ketangkasan penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil -- yang memiliki rekod enam perlawanan tanpa dibolosi sepanjang saingan Piala Cabaran.

Mateo Roskam dan Milad Zeneyedpour bertindak sebagai pelopor serangan pasukan UKM apabila menghasilkan tiga peluang, namun gagal menepati jaringan.

JDT II menampilkan permainan agresif sejak permulaan separuh masa kedua, dengan Rozaimi Abdul Rahman bijak melakukan larian sebelum melakukan hantaran kepada Mohamed Ghaddar yang melepaskan rembatan, namun Khatul Anuar tenang menampan keluar percubaan penyerang kelahiran Lubnan itu.

Strategi yang diambil Boban menggantikan Ghaddar dengan Amirul Hadi Zainal membuahkan hasil apabila pemain tengah itu bijak menewaskan Khatul Anuar, sekali gus membenarkan tuan rumah mendahului pada minit ke-61.

Mereka menggandakan asakan apabila melancarkan serangan demi serangan bagi mendapatkan jaringan kedua, namun setiap peluang gagal dilunaskan.

Corak permainan serangan yang diterapkan JDT II menyaksikan UKM terpaksa bertahan sehingga tamat permainan tanpa menghasilkan sebarang jaringan.

Kedua-dua pasukan bakal kembali bertembung dalam final kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 12 Oktober ini.

Advertisement

Must Watch Video