TERENGGANU 5 PULAU PINANG 0

Dua jaringan Wan Arif Hakimi Wan Ahmad dan Muhammad Isa Raman membantu kemenangan 5-0 Terengganu FC (TFC) IV ke atas Pulau Pinang dalam saingan Piala Belia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang tadi.


Beraksi selaku tuan rumah, TFC IV tidak menunggu lama untuk mendahului satu gol menerusi jaringan pertama Wan Arif Hakimi pada minit kelapan.

Pulau Pinang hanya berkesempatan menguji penjaga gol TFC IV, Syed Muhammad Irfan Syafiq, pada minit ke-42 yang menyaksikan sepakan percuma Mohamad Shahle Yusoff mudah diselamatkan.

Wan Arif Hakimi menggandakan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan babak pertama apabila tandukannya dari jarak dekat hasil hantaran Muhammad Hisyam Ismail berjaya menerjah jaring gol pasukan lawan.

Kedudukan berubah lagi lima minit selepas rehat menerusi Muhammad Isa yang menghukum kesilapan pertahanan pelawat dengan rembatan deras di dalam kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0 buat TFC IV.

Dominasi tuan rumah diteruskan selepas itu, namun dua peluang terbaik satu lawan satu di depan pintu gol lawan disia-siakan Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-57 dan minit 61.

Muhammad Isa kemudian menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-86 sebelum Muhammad Syaiful Haqim Shahrul mudah melengkapkan kemenenangan bergaya 5-0 pada masa kecederaan.

Tiga mata diraih membolehkan skuad bimbingan Subri Sulong itu berkelebihan 12 mata dengan PKNS di kedudukan kedua dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan status selaku juara Kumpulan A.