Pertahanan kebangsaan, Daniel Ting, menegaskan Harimau Malaya sudah bersedia menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan E, Piala Asia berdepan Jordan, Selasa depan.
Motivasinya dan rakan sepasukan ketika ini berada di tahap terbaik terutama selepas mengharungi perlawanan persahabatan berdepan Syria, kelmarin.
Bagi pemain berusia 31 tahun itu, keputusan mengikat Syria 2-2 mampu dijadikan kayu pengukur bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum berdepan cabaran skuad kendalian Hussein Ammouta.
Daniel percaya kesemua 26 pemain yang berada dalam skuad ketika ini adalah yang terbaik dan mampu menyumbang sesuatu yang positif buat Malaysia.
Untuk rekod, Daniel tampil sebanyak 29 perlawanan bersama Sabah FC musim lalu termasuk Piala AFC.
"Ia memberi ruang untuk kami membina kecergasan perlawanan dan mencuba pendekatan dan strategi baru.
"Perlawanan ini menyuntik keyakinan kami dan kami hampir menang ke atas Syria.
"Sebagai rakan sepasukan, kami sudah mengenali corak permainan masing-masing dan persaingan merebut tempat adalah bagus.
"Saya berkeyakinan bahawa siapa sahaja yang akan diturunkan mampu beraksi baik dengan harapan kami mencapai kemenangan," katanya.
Shaiful Shamsudin
Wed Jan 10 2024