Penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit adalah satu perkara besar yang dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air. Mana tidaknya kerana sukan ini kita berjaya bersatu, kerana sukan inilah kita berjaya seia dan kerana sukan ini lah kita berjaya sekata, sehati dan sejiwa secara bersama-sama.
Menjelang perlawanan pertama yang akan berlangsung pada awal pagi nanti pastinya menggamit memori kita bila mana ada tiga tuntutan dari penggerak semangat yang juga dikenali sebagai pemain ke-12 negara kita, Ultras Malaya kini hampir tertunai.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan, diikuti Bahrain, 20 Januari dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.
Ini adalah penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.
Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia, pada tiga edisi sebelum ini.
Jika dilihat betul-betul nampaknya ada satu sahaja lagi tuntutan Ultras Malaya yang belum tertunai? agak-agaknya bila ya kita akan dapat lunaskan tuntutan kedua itu? Sama-sama kita nantikan.
Zaki Zainal
Mon Jan 15 2024