Skip to main content

Bola Sepak

Piala Asia: Sanchez, Zaccheroni laung keyakinan

felix-sanchez.jpg
Ketua jurulatih Qatar, Felix Sanchez, dan pengendali Emiriah Arab Barsatu (UAE), Alberto Zaccheroni, melaungkan keyakinan terhadap pendekatan masing-masing menjelang pertembungan separuh akhir Piala Asia di antara kedua-dua pasukan itu, malam ini.

Kedua-dua pasukan itu menyingkirkan finalis edisi lalu, Korea Selatan dan Australia, dalam suku akhir yang meningkatkan harapan mereka untuk bergelar juara edisi di UAE kali ini.

Pasukan yang menang akan bertemu Jepun dalam final dan selepas melakukan kemaraan sejauh ini, kedua-dua jurulatih berkenaan bersedia untuk memaparkan aksi di luar jangkaan.

Sanchez berasakan Qatar berdepan tekanan tinggi dalam kejohanan itu memandangkan mereka akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, namun dia lega pasukannya itu berjaya menangani situasi tersebut dengan aksi memukau sepanjang laluan mereka ke separuh akhir.

"Salah satu kunci utama pasukan kami layak ke separuh akhir adalah setiap pemain menyedari tekanan yang mereka hadapi.

"Dalam setiap kejohanan, anda akan tertekan untuk memperoleh keputusan yang diinginkan.

"Saya percaya pasukan saya telah berjaya menangani tekanan itu setakat ini.

"Sudah pasti keseluruhan pasukan kami akan semakin tertekan memandangkan sudah memasuki fasa separuh akhir.

"Namun, kami masih berkeyakinan tinggi untuk menghadapi perlawanan yang penuh tekanan itu.

"Ia perlawanan penting buat kami dan saya amat gembira untuk pasukan ini ke separuh akhir dalam kejohanan yang sehebat ini.

"Saya berharap apabila berdepan UAE nanti, kami mampu untuk terus mempamerkan kekuatan dan seterusnya ke final," katanya.

Sementara itu, Zaccheroni percaya pasukan tuan rumah, UAE, akan meneruskan saingan dalam edisi kali ini dengan berkata: "Kami berdepan kesukaran dalam perlawanan peringkat kumpulan dan pusingan 16.

"Namun, kami sedang berkembang dan prestasi kami dalam perlawanan terakhir (menentang Australia) sangat baik.

"Saya yakin kami akan mengalahkan Qatar dengan prestasi baik seperti itu," katanya.

Advertisement

Must Watch Video