Pertahanan negara, Dion Cools tidak gentar dengan kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Jordan.

Mengakui kelebihan pihak lawan, Cools bertegas Malaysia masih mempunyai kelebihan tersendiri menerusi fizikal yang lebih kecil berbanding pihak lawan.

Ketangkasan Faisal Halim, mahupun Arif Aiman Hanafi mampu mencetus gerakan hura hara di benteng pertahanan Jordan mahupun Bahrain, jadi perkara itu tidak boleh dianggap hal mudah buat pemain Jordan.

“Malaysia sudah bersedia untuk perlawanan pertama. Isu fizikal bukan satu masalah.

“Kami juga memiliki kualiti tersendiri daripada segi kepantasan dan ketangkasan. Lawan mungkin tinggi namun Malaysia juga memiliki senjata untuk perlawanan ini.

“Ya mereka lebih tinggi daripada kita namun pada pendapat saya tidak mudah untuk melawan pemain yang lebih kecil jadi ini juga kelebihan buat kita.” kata Cools.

Cools sudah bersedia seratus peratus menjelang aksi pertama pada Selasa bertemu Jordan.

Sekali lagi semangat kenegaraan Cools menjadi perhatian.

Watak penting dalam pasukan itu bertegas tiada keraguan lagi untuknya terus menabur keringat buat negara sejak kali pertama dia menyarung jersi negara pada 3 Jun 2021.