PIALA ASIA
Piala Asia: Kelapan-lapan stadium di Qatar bertaraf dunia
Jika Malaysia ada padang berkualiti tinggi, sukan bola sepak tanah air mungkin boleh capai tahap lebih tinggi.
Ia dipersetujui pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Mohd Saad, yang kini beraksi di Piala Asia.
Menurut temubual dengan wartawan, Zulhemi Zainal Azam, Shahrul atau lebih dikenali sebagai Badak berkongsi kualiti padang memainkan peranan penting dalam kualiti permainan.
Iklan
"Beza sangatlah. Terutama daripada segi persiapan pasukan, Seterusnya, fasiliti yang ada, dan suasana kat sini. Bila kita sampai ni ibarat Piala Dunia juga untuk kita.
"Perasaan tu memang sebenarnya bertuah pun ada, bangga pun ada sebab bukan semua pasukan berpeluang nak masuk dalam AFC terutama kita dah layak selepas beberapa tahun kan."
Menjejak kaki di pentas Piala Asia membuka mata pasukan Harimau Malaya sekali gus menjadi detik cukup bermakna selepas kejayaan menamatkan 42 tahun penantian melayakkan diri ke Piala Asia Qatar.
"Sebab kita tahu bila sampai AFC ini kita boleh jumpa dengan pemain-pemain yang ternama dan kualiti yang best, jadi satu pengalaman yang terbaik juga, dan kita jumpa dengan mana-mana pasukan pun kita boleh nampaklah kualiti pasukan tu, bagus juga untuk kita tambah lagi ilmu dalam bola sepak.
"Pada saya, kualiti yang kita ada adalah sebab kita sampai dekat sini, dengan pendekatan kita gunakan dalam perlawanan, bukan senang ya, sedangkan di kelayakan kita tengok memang macam-macam cabaran yang kita lalui untuk sampai sini, jadi bila sampai sini, kita tak nak abaikan peluang tu, selagi mana kita mampu, kita dah sampai pun kat sini jadi ada perlawanan di peringkat kumpulan ini kita nak pergi habis-habisan, nak dapatkan prestasi yang tertinggi yang kita boleh buat dalam pertandingan ini.
"Itulah sebab kita datang awal ke sini, salah satunya kita nak biasakan dengan padang. Padang diaorang, bukan padang latihan sahaja cantik, di stadium perlawanan lagilah lawa. Cumanya itulah, bila kita dah sampai sini, kena cepat menyesuaikan diri.
"Sebab satu lagi di sini sejuk, jadi bila simbah air keadaan padang itu akan lebih baik, dan bola akan lagi laju. Kalau kita terlepas sedikit sentuhan, memang bahaya jugalah.
"Tapi inilah sebenarnya realiti bola sepak, kita nak merasakan padang yang berkualiti dalam perlawanan."
Harimau Malaya bakal bertemu Republik Korea untuk aksi terakhir saingan Piala Asia esok.
Must-Watch Video