BOLA SEPAK
Piala Asia: Iran elak dilabel pasukan pilihan hadapi Jepun
Jurulatih Iran, Carlos Queiroz, berkata label sebagai sebagai pasukan pilihan untuk pasukannya menjuarai Piala Asia 2019 adalah satu tanggapan yang tidak tepat apabila mereka bersedia menghadapi Jepun dalam aksi separuh akhir tanpa kelibat Mehdi Taremi yang telah menyumbat tiga gol.
Queiroz mendakwa pasukan yang diberi jolokan Team Melli itu telah mencapai objektif kejohanan yang menyaksikan Taremi menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan suku akhir 3-0 ke atas China untuk membantu mereka menembusi peringkat separuh akhir buat kali kesembilan.
Memandangkan Korea Selatan dan Australia tersingkir di tangan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Queiroz pantas meredakan tanggapan bahawa peluang skuadnya lebih cerah untuk merangkul gelaran Piala Asia buat kali keempat.
Iklan
"Impian kami adalah untuk berada dalam separuh akhir, kami sudah mencapainya dan kami sangat gembira," kata jurulatih berusia 65 tahun itu.
"Bagaimanapun, hanya ada tiga pasukan pilihan untuk memenangi pertandingan ini dan mereka adalah Jepun, Korea Selatan dan Australia. Bagi kami, untuk dilabel pasukan pilihan adalah tidak tepat, ia adalah tanggapan yang tidak sesuai.
"Kami akan menghadapi satu lagi perlawanan. Aksi ini sememangnya penting daripada segi semangat dan keseronokan tetapi sebaik wisel ditiupkan, anda hanya perlu bermain."
Taremi, yang menjaringkan gol dalam kemenangan 5-0 Iran ke atas Yaman di peringkat kumpulan, menerima kad kuning kedua dalam kemenangan ke atas China dan akan menjalani penggantungan ketika bertemu Jepun, malam ini.
Vahid Amiri berkemungkinan akan kembali membarisi benteng Iran selepas menjalani penggantungan sambil Queiroz mendesak pemainnya supaya tidak melepaskan peluang yang terbentang setelah memenangi lima perlawanan tanpa dibolosi.
"Kami tahu 'jerung besar' menanti kami -- pasukan pilihan Piala Asia -- Jepun atau Korea akan menjadi penghalang kami, oleh itu kami perlu bekerja lebih keras lagi," kata Queiroz.
"Selepas perlawanan, saya selalu berpesan kepada pasukan bahawa jersi Iran adalah perkara utama. Apa yang telah kami lakukan ketika bertemu China bukan lagi taruhan. Jadi, kami perlu memperbaiki prestasi selepas aksi terdahulu."
Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, akan menyambut Yoshinori Muto kembali ke pangkuan kesebelasannya setelah selesai penggantungannya dan penyerang Newcastle United tersebut akan menyuntik kreativiti Samurai Biru yang agak tumpul.
Skuad kendalian Moriyasu itu memenangi empat perlawanan terakhir mereka dengan jurang satu gol, namun dia menjelaskan pemainnya masih mencari rentak.
"Pendekatan kami akan berpandukan kepada kemampuan lawan. Namun, kami telah banyak belajar dalam Piala Asia ini," kata Moriyasau menjelang pertemuan dengan Iran di Stadium Hazza bin Zayed, Al Ain.
"Kami terpaksa bertahan seperti yang berlaku ketika menentang Arab Saudi (menang 1-0 dalam pusingan 16) dan adakalanya kami menguasai permainan tetapi buntu.
"Pengalaman itu akan digunakan sebagai persediaan untuk menghadapi aksi separuh akhir," ujarnya.
Must-Watch Video