Gergasi Asia Tenggara, Thailand melangkah ke pusingan 16 Piala Asia 2023 selepas mengikat juara Piala Asia tiga kali, Arab Saudi dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan terakhir Kumpulan F di Stadium Al-Rayyan, di Al Rayyan, Qatar.

Keputusan tersebut membenarkan negara dari Timur Tengah itu mengungguli kumpulan dengan tujuh mata diikuti Thailand dengan lima mata manakala Oman gagal menempah slot ke pusingan kalah mati, selaku salah satu pasukan ranking ketiga terbaik selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan.

Oman menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan dua mata selepas seri dua kali dan kalah sekali dan Krygyzstan tercorot dengan satu mata.

Mereka yang memerlukan kemenangan untuk menjamin tempat ke saingan kalah mati, mendahului dengan gol pembukaan minit kelapan Muhsen Al-Ghassani manakala jaringan penyamaan pada penghujung perlawanan oleh Joel Kojodi di minit ke-91 menghancurkan harapan pasukan bimbingan Branko Ivankovic.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia muncul sebagai penerima manfaat yang ketara, memperoleh tempat dalam pusingan 16 sebagai salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga ketiga kumpulan.

Indonesia yang dibimbing Shin Tae-yong dari Korea Selatan, menduduki tempat ketiga dalam kumpulan dengan tiga mata selepas mencatat satu-satunya kemenangan ke atas Vietnam 1-0.