Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue, berkata kedudukan ke-30 dunia bukan alasan untuk mereka merendah diri sambil menggesa mereka perlu berjuang bermati-matian untuk mengharungi kempen Piala Asia 2023.
Malaysia dilabel pasukan paling lemah menghuni Kumpulan E apabila berada ranking ke-130 dunia, sementara Jordan ke-87, Bahrain ke-86 dan Republik Korea ke-23 dunia.
"Kami sedang menyesuaikan dengan cuaca dan keadaan padang, sebab itu kami tiba awal.
"Kami akan berdepan lawan yang sukar dan jika pihak lawan tidak bermain dengan baik, kami mungkin melakar kejutan.
"Kami tidak boleh terlalu yakin, apatah lagi kami di ranking terendah di peringkat kumpulan.
"Apa pun, kami kena fokus pertemuan dengan Jordan terlebih dahulu untuk mencerahkan peluang kemaraan ke pusingan seterusnya," katanya dalam satu rakaman dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Begitupun, tonggak di bahagian serangan itu sedar mereka perlu mengharungi satu persatu perlawanan dan paling penting, membuka kempen dengan nada positif.
"Sudah pasti kami mahu menang dan kalau tidak tewas dalam perlawanan pertama berdepan Jordan dan mengutip mata ketika bertemu Bahrain, kami berpeluang untuk mara, tambahan pula ada slot tiga naib juara.
"Seluruh Asia akan menonton kejohanan ini. Kami berpeluang beraksi dengan pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), ia satu penghormatan buat saya di sini dan saya harap Malaysia akan layak lagi dan mencipta keputusan lebih memberangsangkan," katanya.
Shaiful Shamsudin
Sun Jan 07 2024