SABAH 3 HOUGANG 1

Sabah FC mempamerkan permulaan garang dalam saingan Piala AFC apabila melakarkan kemenangan 3-1 ke atas kelab dari Singapura, Hougang United di Stadium Likas sebentar tadi.


Dalam aksi pertama Kumpulan H di Likas, jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, menampilkan kesebelasan utama paling berbisa dengan jentera serangan diketuai Ramon Machado, Saddil Ramdani dan Darren Lok.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka jaringan, pemain import Sabah, Gabriel Peres, pada minit kelima memecah kebuntuan selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada Miguel Cifu mengatasi penjaga gol Hougang, Zaiful Nizam.

Sabah menggandakan jaringan pada minit ke-37 menerusi Darren Lok yang bijak menggunakan kelebihan atas kegagalan pasukan lawan mengeluarkan bola daripada zon bahaya.

Kelab Singapura itu tekad bangkit di separuh masa kedua, Kazuma Takayama berjaya mengurangkan defisit jaringan apabila menanduk masuk pada minit ke-61.

Semangat kebangkitan Hougang bagaimanapun lebur seminit kemudian apabila Sabah meledak gol ketiga -- hantaran Park Tae-su ditanduk Darren.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah kini menghuni tempat kedua Kumpulan H sebelum menghadapi aksi kedua peringkat kumpulan bertemu kelab Indonesia PSM Makassar.