PIALA AFC
Piala AFC: Sabah FC sahut cabaran Kumpulan H
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, masih mampu menghela nafas lega mengelak daripada bertembung Central Coast Mariners di peringkat kumpulan Piala AFC 2023.
Kim Swee sedar pertembungan awal dengan wakil Australia itu mampu menyulitkan usaha mereka untuk ke pusingan kalah mati selain diundi dalam Kumpulan H di samping Haiphong FC (Vietnam) dan Hougang United (Singapura).
"Kami dapat elak pasukan dari Australia. Kita tahu mereka berada di tahap yang lebih tinggi.
Iklan
"Walaupun berada dalam kumpulan yang seimbang tapi aksi di peringkat Asia berbeza, tapi persiapan dan percaturan adalah pasukan berbeza dengan apa yang kami lalui dalam saingan liga.
"Kami perlu berada di tahap terbaik untuk meraih tempat terbaik, bukan sahaja di tempat malah di tempat lawan.
"Vietnam mempunyai liga yang cukup baik, pasukan kebangsaan mereka juga lebih baik daripada kita.
"Tetapi kami mempunyai import yang boleh beraksi, baik Sabah dan pasukan lawan," katanya di Nadi Arena Khas sebentar tadi.
Dalam masa sama, Kim Swee perlu merancang faktor logistik anak buahnya sebaik-baiknya dan tidak menjadikan ia sesuatu yang membebankan.
"Perjalanan yang paling mudah dalam kumpulan ini ialah ke Singapura menerusi penerbangan terus.
"Tapi perjalanan ke Makassar dan Vietnam mungkin mengambil masa yang lebih lama," katanya.
Dalam undian Zon ASEAN di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, itu sebentar tadi, Terengganu FC pula diletakkan dalam Kumpulan G untuk melalui ranjau dari Indonesia, Bali United, Stallion Laguna FC (Filipina) dan Central Coast Mariners.
Saingan peringkat kumpulan akan bermula hujung bulan depan dan berakhir pertengahan Februari disusuli pusingan kalah mati hingga April 2024.
Must-Watch Video