Penyerang Sabah FC, Darren Lok, memuji mutu permainan rakan sepasukan dalam usaha membantu pasukan lolos ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC susulan kemenangan 4-1 ke atas Hougang United di Stadium Jalan Besar sebentar tadi.

Sabah merekodkan kemenangan bergaya ketika bertandang ke Singapura berdepan Hougang, tiga mata yang diperoleh terhasil menerusi aksi cemerlang ditampilkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sabah mara ke separuh akhir zon ASEAN dalam penampilan pertama mereka dalam kejohanan ini dan Darren memuji persembahan rakan sepasukan dalam memastikan mereka melakar pencapaian yang terbaik buat pasukan


Enam gol dalam lima perlawanan, Darren berkongsikan pandangannya apabila ditemui selepas tamat perlawanan, dia berkata, "Apabila pasukan bermain dengan baik, peluang akan sentiasa tiba dan sebagai pemain amat penting untuk menyempurnakan setiap peluang dan gol-gol yang terhasil amat penting buat pasukan ," kata Darren Lok.

Darren berkongsikan mengenai pencapaian Sabah ke peringkat separuh akhir zon ASEAN, dia berkata, "Ia merupakan satu pencapaian yang tinggi buat Sabah. Layak ke peringkat seterusnya dengan berbaki satu perlawanan sesuatu yang cukup baik dan kami berharap untuk terus menghadirkan permainan yang terbaik buat Sabah dan terus mengharumkan nama negara."