Skip to main content

Bola Sepak

Pertemuan janggal Salah, Ramos dalam majlis undian UCL

ramos-salah.jpg
Sergio Ramos menjadi budak nakal ketika bertembung semula dengan Mohamed Salah semasa undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi. 

Ketua pasukan Real Madrid tersebut duduk di belakang Salah dalam majlis di Monaco itu ketika bintang Liverpool itu diberi peringatan yang menyakitkan mengenangkan kecederaan bahu yang menimpanya pada penghujung Mei lalu. 

Ramos menjadi bualan hangat kontroversi itu ekoran tindakannya menjatuhkan penggempur tersebut dengan insiden itu digambarkan sebagai "kejam dan tidak berhati perut" oleh Jurgen Klopp.

Pertahanan berusia 32 tahun itu kelihatan cuba bergurau dengan perlahan-lahan meletakkan tangannya di bahu kiri Salah yang tercedera ketika menuju ke tempat duduknya selepas menerima Anugerah Pertahanan Terbaik Eropah. 

Pemain antarabangsa Mesir itu pula bagaimanapun terpaksa akur apabila Cristiano Ronaldo merangkul Anugerah Penyerang Terbaik Eropah. 

Liverpool diundi dalam Kumpulan C di samping Paris Saint-Germain (PSG), Napoli dan Red Star Belgrade manakala misi awal Madrid mempertahankan trofi dengan menentang Roma, CSKA Moscow dan Viktoria Plzen dalam Kumpulan G.
 

Advertisement

Must Watch Video