Skip to main content

Bola Sepak

Persatuan bolasepak negeri perlu wajibkan jawatan pengarah teknikal

hamidin.jpg
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan jawatan pengarah teknikal adalah mandatori buat semua persatuan bolasepak negeri dan kelab untuk pelesenan kelab FAM menjelang 2020.

Ketika FAM serius membangunkan bola sepak negara, ahli gabungan badan induk itu, bagaimanapun, gagal bergerak seiring.

Beliau mendedahkan terdapat beberapa persatuan bolasepak negeri tidak mempunyai pengarah teknikal yang sepatutnya bertanggungjawab merencana program di peringkat akar umbi.

Buktinya, sidang kemuncak pengarah teknikal anjuran Jabatan Teknikal FAM semalam gagal dihadiri oleh pengarah teknikal daripada beberapa pasukan.

Situasi itu jelas mengundang rasa kecewa Hamidin, sekali gus mahu membawa perkara itu dalam Kongres Ke-55 FAM, Sabtu ini.

"Saya mahu memastikan setiap persatuan bolasepak negeri memiliki seorang pengarah teknikal. Individu ini bertanggungjawab untuk merencanakan program tahunan pasukan," katanya.

Terdahulu, Hamidin melancarkan DNA bola sepak Malaysia sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.

Dinamakan sebagai DNA 'Cara Malaysia', usaha itu adalah manifestasi falsafah merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam dari peringkat akar umbi hingga elit.

Advertisement

Must Watch Video