Skuad bola sepak India menyasarkan kemenangan ke atas Malaysia bagi menamatkan kemarau kemenangan sejak setahun lalu dan memburu kemenangan pertama sejak dibimbing ketua jurulatih, Manolo Marquez.
Marquez dilantik pada 20 Julai lalu dan sehingga ke hari ini, dia masih gagal menamatkan rentetan tanpa kemenangan The Blue Tigers.
Kali terakhir India melakar kemenangan adalah ketika menewaskan Kuwait 1-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pada 17 November 2023.
Selepas itu, mereka melewati 11 perlawanan tanpa kemenangan, tujuh daripadanya berakhir dengan kekalahan.
Perlawanan terakhir pula menyaksikan mereka terikat 1-1 dengan Vietnam dalam perlawanan persahabatan pada 12 Oktober lalu.
Genap setahun tanpa sebarang kemenangan, skuad Blue Tigers itu menyasarkan untuk menamatkan badi itu apabila bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan tier 1 di Hyderabad malam esok.
Menjelang pertemuan ke-33 kedua-dua pasukan berkenaan, Marquez berkata kepada Republic: "Saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan dengan Malaysia.
"Dari satu sudut, ia adalah percaturan yang berbahaya kerana pemain berada di tengah-tengah perjuangan dalam ISL (Liga Super India) dan kami hanya ada satu perlawanan persahabatan pada bulan November.
"Tetapi saya sangat yakin dengan pasukan ini dan saya rasa kami akan mempamerkan prestasi yang baik malam esok.
"Semua orang mahu memenangi setiap perlawanan tetapi perasaan yang kami dapat selepas seri dengan Vietnam adalah berbeza sama sekali daripada apa yang kami dapat selepas seri dengan Mauritius atau ketika tewas kepada Syria.
"Dalam beberapa ketika, kami bermain dengan hebat. Satu perkara penting ialah pemain perlu percaya dengan gaya permainan kami, saya mahu memenangi setiap perlawanan malah mahu menang dalam setiap sesi latihan," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Nov 17 2024