PIALA ERR
PERR: Pahang jumpa Terengganu dalam final
KELANTAN-MBC 2 PAHANG 4
Impian Kelantan-MBC untuk mencipta satu lagi kejutan berakhir apabila kalah 2-4 kepada Pahang dalam separuh akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78 di Stadium Arena, Universiti Malaya (UM), petang tadi.
Kekalahan kepada juara Piala Agong musim ini itu menghancurkan impian skuad Merah Putih yang berhasrat mengulangi sejarah mara ke final tahun lalu selepas memberikan aksi bertenaga menumpaskan juara bertahan, Pulau Pinang, 3-1 petang kelmarin.
Iklan
Kelantan-MBC memberi amaran awal apabila mendapatkan jaringan pendahuluan melalui rembatan padu Mohamad Fazrul Amir pada minit ke-10.
Tersentak dengan jaringan itu, Pahang mengasak mencari gol penyamaan dan hasilnya pada minit ke-45, penyerang lincah, Mohamad Syafik Razali, melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Kelantan-MBC, Mohamad Shaharuddin Ismail.
Jaringan penyamaan itu membangkitkan semangat luar biasa Tok Gajah dan mereka menambah tiga lagi gol dalam babak kedua untuk selesa mendahului 4-1.
Seminit sebelum wisel penamat ditiupkan, penyerang Kelantan-MBC, Mohd Syafik Abd Rahim, menjaringkan gol kedua skuad Merah Putih.
Kapten Kelantan-MBC, Famirul Asyraf Sayuti, akur dengan kekalahan ini sambil menyifatkan mereka telah melakukan yang terbaik.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukan yang beraksi dengan penuh semangat juang tinggi.
"Kami akur perjuangan skuad Kelantan-MBC berakhir di sini dan tahniah kepada Pahang yang berjaya ke final," katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir, Terengganu mara ke final apabila menundukkan Melaka 2-1 di Padang Mindef.
Kredit Foto: Abe Jera
Must-Watch Video