UCL
Perlawanan terbesar di Anfield -- Lovren
Dejan Lovren menjangkakan "salah satu perlawanan terbesar di Anfield" ketika Liverpool menerima kunjungan Barcelona dalam aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.
Kelab LaLiga itu mendahului 3-0 menerusi kemenangan perlawanan pertama di Nou Camp minggu lalu hasil dua jaringan Lionel Messi dan satu lagi oleh bekas penyerang Liverpool, Luis Suarez.
Lovren mengakui "marah" apabila pasukannya telah diketepikan menjelang aksi kedua dan berazam untuk mempamerkan persembahan yang lebih mantap di laman sendiri.
Iklan
"Ia membuatkan saya marah. Marah dan dahaga untuk mempamerkan kebolehan kami dan mencipta sesuatu yang istimewa di Anfield," kata Lovren.
"Kami memiliki barisan pemain yang berkualiti dan saya berasakan ini merupakan salah satu perlawanan terbesar di Anfield.
"Walaupun lawan mendahului 3-0, bola sepak adalah sesuatu yang sukar dijangka. -- terutama sekali dalam saingan UCL."
Pemain kebangsaan Croatia itu mengambil inspirasi daripada kebangkitan yang pernah dilakar Liverpool, termasuk kemenangan 4-3 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan UEL tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, harapan mereka mengubah nasib dalam perlawanan kedua diberi tamparan apabila Mohamed Salah disahkan terlepas aksi kedua kerana mengalami gegaran otak manakala seorang lagi penyerang, Roberto Firmino turut diketepikan.
"Liverpool pernah bangkit sebelum ini selepas ketinggalan dengan jurang yang besar. Saya berharap kami mampu melakukannya tetapi memerlukan sokongan padu di Anfield.
"Kami telah membuktikan mampu bersaing tanpa kelibat pemain seperti Salah dan beberapa lagi.
"Perkara paling penting ialah kami perlu menjaringkan gol awal. Segalanya mampu dilakukan, saya percaya dengan pasukan ini."
Must-Watch Video