Skip to main content

Bola Sepak

Perkembangan positif daripada Koscielny -- Emery

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

laurentkoscielny.jpg
Kapten Arsenal, Laurent Koscielny, bakal membuat penampilan semula dalam kesebelasan utama berdepan West Ham minggu ini selepas ketua jurulatih, Unai Emery, memberikan maklum balas positif terhadap perkembangannya dalam sesi latihan.

Pemain kebangsaan Perancis itu tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak mengalami kecederaan tendon Achilles pada minit ke-12 berdepan Atletico Madrid, Mei lalu, tetapi Emery mengesahkan dia sudah kembali menjalani latihan.

The Gunners mengharungi permulaan yang sukar tanpa kelibat Koscielny, bolos lima jaringan dalam dua aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan gagal meraih sebarang mata.

Emery menggandingkan Sokratis Papastathopoulos bersama Shkodran Mustafi ketika tewas 0-2 kepada Manchester City dan Chelsea 2-3 tetapi pengendali kelahiran Sepanyol itu tidak menolak kemungkinan Koscielny akan turun beraksi berdepan West Ham.

Apabila ditanya perkembangan Koscielny, Emery memberitahu, "Dia sedang bekerja keras. Dia telah mula berlatih pada minggu lalu.

"Kami sangat gembira dengan kehadirannya kerana dia adalah kapten pasukan dan sentiasa menunjukkan semangat yang positif. Kami perlu bersabar kerana kecederaan yang dialaminya agak serius.

Kemenangan ke atas skuad kendalian Manuel Pellegrini itu akan membenarkan Arsenal keluar daripada rentetan kekalahan, dengan Emery turut ditanya sama ada beliau mahu mengubah strategi dengan menurunkan penyerang tambahan.

Pierre-Emerick Aubameyang telah bertindak sebagai penyerang tunggal dalam kedua-dua perlawanan pembukaan tetapi Emery berkata beliau dan pemain-pemain akan mengekalkan corak permainan yang telah ditetapkan.

"Buat masa ini, kami memerlukan lebih lagi kawalan permainan. Kami juga berkemungkinan akan cuba menurunkan dua penyerang seperti yang kami lakukan dalam pra-musim. Kami akan melihat kepada situasi terlebih dahulu."
 

Advertisement

Must Watch Video