Skip to main content

Bola Sepak

Perez harap Hazard sertai Madrid, nafi mahu Neymar, Mbappe

edenhazard.jpg
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, berharap bintang Chelsea, Eden Hazard, dapat menyertai gergasi LaLiga itu musim depan.

Hazard telah dikaitkan dengan Madrid sepanjang musim ini dan pemain kebangsaan Belgium itu dilaporkan sudah bersedia untuk ke Santiago Bernabeu dengan yuran perpindahan €130 juta (RM609.4 juta).

Perez, bagaimanapun, menafikan terdapat perbincangan mengenai Hazard memandangkan Chelsea sedang melakukan persiapan untuk menentang Arsenal dalam final Liga Europa di Baku, awal pagi Khamis ini, namun presiden Madrid itu memuji pemain berusia 28 tahun berkenaan.

"Bagaimana kami mahu mengadakan perbincangan dengan kelab yang akan beraksi dalam final?" kata Perez sebagai menjawab pertanyaan dalam temu bual dengan Onda Cero's El Transistor.

"Kami sudah mencuba selama beberapa tahun untuk menjadikan Hazard pemain Real Madrid, namun kami masih belum memilikinya.

"Saya amat gembira jika Hazard menyertai Madrid dan berharap dia dapat melakukannya.

"Dia salah seorang pemain terbaik dunia," katanya.

Ia akan menjadi jendela perpindahan paling sibuk buat Madrid dengan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, bersedia untuk merombak pasukannya yang menamatkan musim ini di tangga ketiga LaLiga selain tersingkir dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Gandingan Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe dan Neymar, turut diperkatakan sebagai sasaran Madrid.

"Saya belum berbincang dengan Zidane mengenai Mbappe dan Neymar.

"Kami juga belum dan mungkin tidak akan berbincang dengan Mbappe.

"Tahun lalu, kami katakan yang kami tidak mahu mereka dan tahun ini, ia tetap sama.

"Jika kami mahukan sesuatu pemain, kami akan berbincang dengan kelab mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video