Skip to main content

Bola Sepak

Percaturan TFC buahkan hasil

nik-ter.jpg
Impak pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff, melegakan kem Terengganu FC (TFC) untuk meraih satu mata ketika seri 2-2 dengan Kedah, semalam.

Perkara itu diakui penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik, yang turut mempertahankan keputusan memulakan bekas pemain Kuantan FA itu dari bangku simpanan

Mohd Rahmat Makasuf sebaliknya menjadi pilihan di bahagian sayap kanan, namun Mohamad menyifatkan aksi gugup pemain berusia 22 tahun itu sudah dijangka.

"Ia penampilan sulung bagi Rahmat, pasti ada perasaan gemuruh, gementar dan sebagainya," katanya.

"Memang kami dah rancang kemasukan Abdul Malik dalam babak kedua kerana dia baru pulih daripada kecederaan."

Percaturan mengeluarkan Rahmat serta Thierry Chantha Bin sebelum sepak mula separuh masa kedua membuahkan hasil buat TFC dengan aksi lebih tersusun dipamerkan.

Abdul Malik berjaya mengkucar-kacirkan kubu Kedah, malah kelincahannya membawa kepada layangan kad kuning kedua kepada bek kiri pasukan lawan, Azmeer Yusof.

Ketika permainan berbaki 30 saat, hantaran lintang Abdul Malik dari sebelah kanan ditanduk kemas Kipre Tchetche untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2.

"Kami sepatutnya boleh menang dan jaringkan dua atau tiga gol lagi tetapi rezeki tidak berpihak kepada TFC. Momentum kemenangan ada pada kami dan saya tetap berpuas hati pemain-pemain tidak berputus asa sehingga wisel penamat," tambah Mohamad.

Advertisement

Must Watch Video