Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, menzahirkan rasa sedih Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024 dengan cara berbeza.
Skuad kendalian Hector Bidoglio meraih trofi pertama pada musim 2024/25 selepas lawan dalam Perlawanan Sumbangsih, Selangor, memilih untuk tidak hadir ke perlawanan itu yang dijadual di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) hari ini.
Ia susulan isu keselamatan yang menjadi kebimbangan skuad Gergasi Merah selepas pemain sayap, Faisal Halim, menjadi mangsa serangan simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali di Petaling Jaya Ahad lalu.
Baginda yang juga pemilik JDT berkongsi rasa sedih itu menerusi hantaran di media sosial.
"Sedih untuk menjulang piala dengan cara ini, tetapi rezeki tetap rezeki.
"ALLAH sebaik-baik perancang," catat baginda menerusi ruangan komen di Instagram Johor Southern Tigers.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelmarin mengesahkan aksi itu dibatalkan susulan keputusan kelab untuk tidak hadir menyertai aksi tersebut.
Susulan itu, badan pengendali liga tersebut mengumumkan skuad Harimau Selatan turut mendapat tiga mata pertama bagi musim 2024/25 sekali gus Piala Sumbangsih kekal di Johor.
Sumber Sinar Harian
Stadium Astro
Fri May 10 2024