Skip to main content

Bola Sepak

Perak tidak bernasib baik -- Durakovic

56606363_2573076216098201_682021809964449792_o.jpg
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui pasukannya tidak bernasib baik untuk meraih mata penuh apabila sekadar terikat 2-2 menentang PKNS FC dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Perak, semalam.

Meskipun sedikit kecewa, namun jurulatih itu tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.

"Saya berpuas hati kami meraih satu mata. Secara jujurnya, kami boleh menang jika dua atau tiga peluang yang terhasil dapat disudahkan ke dalam jaring gol PKNS. 

"Apapun, saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain walaupun beraksi di atas padang yang licin sepanjang 90 minit permainan," katanya.

Dalam perlawanan itu, gol pertama pasukan Perak dijaringkan Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi pada minit ke-38 manakala gol kedua disumbangkan pemain import dari Brazil, Gilmar Da Silva, pada minit ke-52.

PKNS pula membalas dengan dua jaringan yang dihasilkan Gabriel Guerra pada minit ke-22 dan Romel Morales pada minit ke-55.

Durakovic, bagaimanapun, tetap memuji aksi yang ditampilkan pasukan pelawat kerana berjaya menyukarkan misi Perak untuk meraih tiga mata penuh. 

"Kami seharusnya memberikan pujian kepada mereka kerana berjaya mempamerkan aksi bertenaga, terutama dalam bertahan, dan ia sememangnya menyukarkan kami untuk mencari gol tambahan," katanya. 

Sementara itu, jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, berpuas hati dengan keputusan seri yang dicatatkan pasukannya. 

Katanya, pemain-pemain, terutama bek kanan, K. Kannan, telah menunjukkan aksi  terpuji meskipun baru kali pertama diturunkan dalam aksi Liga Super musim ini. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video