Skip to main content

Bola Sepak

Perak tekad pertahan gelaran

durakovic.jpg

Selepas gagal menjulang Piala FA, Perak bertekad mempertahankan gelaran Piala Malaysia yang dimenangi pada 2018 apabila saingan trofi berprestij itu bermula hari ini.

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengakui pasukan The Bos Gaurus itu diulit kekecewaan besar berikutan kekalahan 0-1 di tangan Kedah dalam final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil 27 Julai lalu.

Advertisement

"Siapa yang tidak kecewa kerana kami bermain dengan baik dan menguasai perlawanan tetapi gagal menyudahkan peluang yang dicipta.

"Memang sukar untuk pemain menerima kekalahan seperti itu. Ia memang kejam tetapi kita tidak boleh melawan ketentuan takdir. Inilah bola sepak.

"Apapun, saya berharap pemain dapat melupakan kekecewaan itu dan memberi tumpuan terhadap mempertahankan mahkota Piala Malaysia.

"Hidup perlu diteruskan. Yang berlalu biarkan berlalu,," kata Durakovic.

Perak yang diundi dalam Kumpulan C bersama Pahang, Sabah dan Pulau Pinang, akan membuka kempen bertemu Sabah di Ipoh, Ahad ini.

Justeru, Durakovic berharap pemain bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama itu dan mengingatkan anak buahnya supaya tidak bersikap terlalu yakin walaupun bertemu sebuah pasukan Liga Perdana.

Jurulatih itu menjangkakan laluan sukar kerana bertemu lawan yang baru muncul juara Liga Perdana dan sedang bersemangat tinggi selepas berjaya ke Liga Super 2020.

"Sabah bukan calang-calang pasukan. Mereka pasukan yang bagus. Jika tidak masakan mereka boleh muncul juara Liga Perdana musim ini.

"Kami buat silap besar jika menganggap mudah perlawanan ini, " katanya.

Must Watch Video