Skip to main content

Bola Sepak

Perak mara ke pusingan ketiga

perak.jpg
PERAK 2 NEGERI SEMBILAN 1

Perak mara ke pusingan ketiga Piala FA apabila mengatasi Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Perak, sebentar tadi.


Jaringan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-78 membantu pasukan The Bos Gaurus itu merakamkan kemenangan yang diperlukan.

Bekas penyerang kebangsaan itu tenang merembat masuk bola silangan J. Partiban dari sebelah kiri untuk membuat Negeri Sembilan berputih mata.

Begitupun, kemenangan tidak mudah buat anak buah Mehmet Durakovic itu biarpun menguasai permainan kerana diberi tentangan oleh pelawat.

Malah, Negeri Sembilan terlebih dahulu mencipta peluang tetapi dua peluang melalui Muhamad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-19 dan 29 gagal disempurnakan.

Ketika jentera serangan Perak terus tumpul, pemain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim, melakukan sentuhan pemusnah apabila tenang menyumbat bola ke dalam gawang melepasi Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman selepas menyambut hantaran Wander Luiz pada minit ke-40.

Negeri Sembilan bangkit dalam babak kedua dan Jose Almir Barros Neto melompat tinggi untuk menanduk masuk sepakan percuma Shunsuke Nakatake pada minit ke-67.

Begitupun, Shahrel Fikri membuat sepakan terus daripada hantaran Partiban dari sebelah kiri untuk meranapkan sebarang impian pasukan Hoben Jang Hoben itu untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Keputusan lain:

BATU DUA FC 1 PKNP 2

KUALA LUMPUR 3 TUN RAZAK CITY 0

PAHANG 4 PIB 0

PENJARA 0 PULAU PINANG 1

KELANTAN UNITED 1 SABAH 0

PKNS 3 MELAKA 2

UiTM 0  PJ CITY 2

Advertisement

Must Watch Video