Skip to main content

Bola Sepak

Perak kecewa dengan aksi Gilmar

asiana-gilmar.jpg
Perak kecewa dengan persembahan Gilmar Jose Da Silva Filho, terutama dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA dengan PKNP FC, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, kelmarin.

Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap penyerang kelahiran Brazil itu.

"Saya sungguh kecewa dengan sumbangan Gilmar dalam perlawanan Selasa lalu kerana empat hari sebelum itu, dia mengemudi kejayaan 4-0 kami ke atas lawan yang sama.

"Walaupun saya sudah mengadakan perbincangan hati ke hati dengan pemain itu, malangnya nasihat saya ibarat mencurahkan air ke daun keladi," katanya.

Menurut pengurus Perak itu, pasukannya sudah memberikan peluang yang mencukupi buat Gilmar, yang muncul penjaring terbanyak The Bos Gaurus ketika menjuarai Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim lalu.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan prestasi Gilmar menjunam sehingga dikecam dan dicemuh oleh penyokong dalam media sosial.

Berikutan itu, penyokong Perak turut menyarankan agar Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pemain itu dalam jendela perpindahan kedua bulan ini.

Peminat Perak juga menyelar seorang lagi pemain import, Zac Anderson, berikutan sumbangan kurang bertenaga daripada pemain itu.

Adly Shah, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai saranan penyokong Perak itu walaupun Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengeluarkan kenyataan mahu menggantikan awang import yang kurang berkesan, baru-baru ini.

Advertisement

Must Watch Video