Pep Guardiola berkata dia "sangat gembira dan teruja" Manchester City akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia Kelab di Arab Saudi dalam beberapa hari akan datang.
Pasukan yang memenangi treble itu menuju ke kejohanan berkenaan selepas kemerosotan prestasi, di mana mereka kehilangan mata dalam lima daripada enam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kini berada di tempat keempat.
Dengan akan beraksi dalam perlawanan Piala Dunia Kelab pada Selasa dan Jumaat ini, mereka hanya akan kembali dalam aksi liga pada 27 Disember ini dan ketika itu terdapat jurang yang ketara di antara mereka dan pasukan atasan.
Setelah melihat pasukannya diikat seri 2-2 di laman sendiri oleh Crystal Palace pada Sabtu lalu, Guardiola ditanya sama ada kejohanan di Arab Saudi itu datang pada masa terburuk buat City, dan dia berkata: "Tidak, kami mahu bermain dalam (Piala) Dunia Kelab.
"Untuk pergi ke sana, anda harus memenangi Liga Juara-Juara. Saya sangat gembira dan teruja untuk ke sana dan cuba memenanginya, tentu saja.
"Itu adalah jadualnya, itu adalah keputusannya, dan anda harus menerimanya."
Guardiola menekankan bahawa dalam situasi liga, City harus "memenangi perlawanan dan bergantung kepada diri sendiri".
Sebelum perlawanan Sabtu ini, mereka seri 4-4 dengan Chelsea, 1-1 dengan Liverpool dan 3-3 dengan Tottenham serta kalah 0-1 kepada Aston Villa sebelum menang 2-1 di Luton.
Perlawanan dengan Chelsea, Liverpool, Tottenham, dan Palace menyaksikan City dibolosi gol penyamaan pada lewat permainan.
Apabila ditanya sebab mereka tidak mematikan perlawanan lebih awal, Guardiola berkata: "Saya juga ingin tahu.
"Kami harus mengawalnya dengan lebih baik."
Lawatan City ke Arab Saudi itu menyaksikan mereka akan menentang Urawa Red Diamonds dari Jepun dalam separuh akhir pada Selasa ini dan aksi final atau penentuan tempat ketiga akan berlangsung tiga hari kemudian.
Syen Yeoh
Mon Dec 18 2023