Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Penyokong setia Tambadau perlu terus bantu pasukan -- Peter

presiden-persatuan-bola-sepak-sabah-(safa),-datuk-peter-anthony,.jpg
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, mengajak penyokong setia pasukan itu supaya meningkatkan lagi sokongan mereka bagi membantu Sabah menghadapi baki lima perlawanan terakhir, terutama dalam dua lagi aksi di gelanggang sendiri.

"Saya tahu ada keputusan tidak popular (yang dilakukan) pengurusan baru sebelum ini tetapi di sebalik semua itu, saya yakin tujuan kami semua sama dan cuma satu, iaitu untuk melihat bola sepak Sabah yang sekian lama tenggelam kembali gemilang.

"Kami sudah hampir tetapi belum mencapainya dan oleh itu, saya mengajak penyokong setia Tambadau agar memantapkan lagi sokongan mereka bermula malam ini apabila kami melayani kunjungan Sarawak di Stadium Likas. 

"Sokongan anda semua (penyokong) mampu menyemarakkan semangat pasukan bagi mengharungi baki saingan liga yang dilihat semakin sengit," katanya di Kota Kinabalu, semalam. 

Peter berkata kemenangan malam ini boleh membantu Tambadau untuk bukan sahaja terus menghampiri sasaran ke Liga Super, malah mengukuhkan kedudukan sebagai calon utama menjulang gelaran juara Liga Perdana musim ini.

"Sebelum ini, ramai yang mengadu malas ke stadium kerana prestasi hambar pasukan tetapi musim ini kami telah berusaha mengubahnya dan hari ini, Tambadau sudah di persada liga. 

"Kami akan terus berusaha memantapkan pasukan tetapi adalah lebih indah jika kita dapat bersama-sama berkongsi usaha itu dengan kapasiti masing-masing dan penyokong boleh membantu dengan menjadi pemain ke-12 pasukan," katanya. 

Skuad kendalian Jelius Ating itu kini berada di kedudukan terbaik bagi mengakhiri kemarau memenangi gelaran juara liga selepas kali terakhir dinobat sebagai juara liga utama negara adalah pada 23 tahun lalu. 

Mereka kini hanya memerlukan 12 mata daripada baki lima perlawanan untuk bergelar juara dan Peter berharap pasukan itu akan terus fokus dalam setiap perlawanan. 

"Saya melihat kesungguhan setiap anggota pasukan, pegawai, jurulatih dan pemain dalam latihan. 

"Saya berharap kesungguhan itu dapat disaksikan dalam perlawanan malam ini," katanya.

Tambah beliau, walaupun ia adalah pertemuan di antara pasukan teratas dan tercorot, sejarah menunjukkan pertembungan di antara kedua-dua pasukan Borneo itu sentiasa sengit dan menarik.

"Saya percaya malam esok (malam ini) juga menjanjikan pertarungan sengit. 

"Saya harap pemain kekal fokus dan berjuang habis-habisan untuk dapatkan kemenangan dan keluar sebagai pasukan terbaik Borneo," katanya.

Advertisement

Must Watch Video