Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menyelar tindakan segelintir penyokong pasukan itu yang sengaja melakukan provokasi ke atas pemain.
Baginya, tindakan itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada pasukan.
Isu penjaga gol Selangor, Farizal Harun, yang didakwa melontarkan kata-kata kesat kepada penyokong perlu dijadikan iktibar agar ia tidak diulangi.
Walaupun Farizal sudah membuat permohonan maaf, namun Abdul Rauf tidak meletakkan 100 peratus kesalahan itu di bahu pemain berpengalaman berkenaan.
Sebaliknya, Abdul Rauf mengharapkan penyokong juga akan lebih matang dalam memberikan sokongan.
"Penyokong juga perlu memahami jiwa dan perasaan seseorang pemain.
"Tidak ada pemain dan pasukan yang mahukan kekalahan.
"Mereka cuba untuk memberikan yang terbaik.
"Kita sudah sedia maklum yang Jai sudahpun membuat permohonan maaf.
"Ia berlaku di luar kawalan emosinya," katanya.
Sementara itu, Abdul Rauf mengakui prestasi Selangor kurang memuaskan dalam dua perlawanan terakhir.
Ia selepas pasukan itu tercicir lima mata sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan bahawa situasi itu akan menjadi lebih baik selepas ini.
"Dalam pertandingan liga ini, kita tidak boleh cakap yang kita menyasarkan untuk mendapat nombor dua.
"Kita perlu menyasarkan nombor satu.
"Apapun, perjalanan masih jauh.
"Kami tahu walaupun jurang mata itu terlalu jauh, apa-apa pun boleh berlaku dalam bola sepak.
"Kami akan tetap memandang ke depan," tambahnya.
Penulis Jemputan
Sun May 26 2019