Penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC mengharapkan pengurusan kelab itu tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad selepas pemain itu antara yang akan dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pasukan lain bagi saingan Liga Malaysia 2024.
Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim, berkata khidmat penyerang berusia 28 tahun itu perlu dimanfaatkan oleh Sang Kenari kerana pemain itu dilihat memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan dalam kesebelasan utama.
Menurutnya, Syafiq, yang juga antara bakat yang digilap dan dilahirkan oleh kelab itu, pastinya bersedia untuk pulang ke Darul Aman jika khidmatnya berada dalam rancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
“Kami berharap pengurusan KDA FC akan bertindak cepat memastikan Syafiq tidak terlepas ke pasukan lain. Jika urusan meminjam sudah diuruskan, ia sebenarnya adalah berita baik buat semua penyokong Kedah.
"Penyokong sentiasa berharap Sang Kenari akan meningkatkan lagi kekuatannya bersama barisan pemain yang disusun musim depan selepas berjaya melengkapkan musim Liga Super 2023 di tangga keempat," katanya yang mengakui bangga dengan pencapaian itu berbanding pencapaian tangga kelapan pada tahun 2022.
Zulkifli, yang terkenal dengan kostum warna hijau kuning berserta imej bunga matahari, berkata KDA FC juga mampu menjadi platform buat Syafiq untuk kembali menyerlah sebagai penyerang tempatan yang mampu memperkuatkan jentera serangan Harimau Malaya.
Jelasnya, kelab penyokong itu percaya khidmat penyerang itu juga turut berada dalam radar pasukan lain bagi memperkuatkan barisan hadapan masing-masing.
“Ini peluang terbaik untuk Syafiq terus meningkatkan prestasi dirinya dalam kancah Liga Malaysia musim depan dan mampu melonjakkan kembali namanya seperti mana yang pernah dia buktikan sebelum ini bersama Kedah,” ujarnya lagi.
Syafiq pernah dipinjamkan ke Kedah musim 2022 di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, namun dia dipanggil untuk kembali ke pangkuan JDT pada pertengahan aksi Liga Super.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Sat Dec 30 2023