Skip to main content

Bola Sepak

Penyerang sejati jadi idaman Sathianathan

selangor-2019.jpg
"Saya mahukan penyerang sejati "

Demikian gesa jurulatih Selangor, B. Sathianathan, terhadap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi merealisasikan hasratnya untuk mendapatkan khidmat seorang lagi penyerang menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Aksi di Stadium Darulaman, malam tadi, memberi gambaran jelas buat Sathianathan betapa dia memerlukan seorang penyerang sejati untuk membantu Selangor mencetak jaringan.

Ketika menentang Kedah, Selangor banyak mensia-siakan peluang terbaik ekoran ketiadaan watak penting di bahagian penyudah. 

Tegas Sathianathan, sekiranya Gergasi Merah mempunyai penyerang sejati, aksi di Alor Setar itu mampu memberikan kelebihan kepada Selangor.

"Kami mahu bergantung kepada siapa lagi?

"Kami ada peluang terbaik melalui Syazwan Zainon manakala Syahmi Safari mempunyai tiga peluang untuk menjaringkan gol. 

"Kalau bukan kerana kekurangan pengalaman, saya fikir Syahmi pasti akan menyumbat gol dalam ketiga-tiga peluang tersebut," katanya. 

Sathianathan mendedahkan dia sebenarnya sudah pun memiliki calon untuk membantu The Red Giants, namun masih memerlukan masa yang sesuai untuk mengumumkan pemain yang dimaksudkannya itu. 

"Perbincangan di antara saya dan pengurusan adalah melibatkan seorang penyerang yang digelar pemain nombor 9.

"Sandro da Silva akan bertindak di belakang pemain tersebut dan inilah yang saya tunggu. 

"Saya harap pihak pengurusan akan meluluskan cadangan ini untuk kami terus membawanya ke sini," tambahnya. 

Rufino Segovia, bagaimanapun, kekal dalam perancangan Sathianathan sekalipun pemain dari Sepanyol tersebut hanya boleh beraksi kembali Jun depan.

Advertisement

Must Watch Video